March 3, 2010

Santapan Kejayaan...

RESEPI BELAJAR

Bahan-bahannya:

1. Buku secukupnya(ikut selera masing-masing)
2. Sebuah ketekunan
3. 3 mangkuk kerajinan
4. 4 hiris keinsafan
5. 5 keping kasih sayang
6. Beberapa potong kasih
7. Segenggam harapan
8. 1/3 cawan air mata keinsafan
9. Semangkuk azam
10.Sekuntum A untuk hiasan


Cara membuatnya:

1. Ambil beberapa buah buku(ikut selera) dan gaulkan dengan azam.
2. Biarkan seketika sehingga kedua-duanya sebati.
3. Ketekunan diperah untuk dijadikan 1 liter pati kesungguhan dan 2 liter pati usaha.
4. Keyakinan, kasih sayang, nasihat,doa dan harapan digaulkan bersama.
5. Kemudian titiskan air mata keinsafan.
6. Kasih sayang dan harapan digoreng bersama kasih sebagai penambah perisa.
7. Tambahkan sedikit kerajinan.
8. Akhir sekali, masukkan kesungguhan serta beberapa hiris nasihat dan doa.
9. Taburkan dengan keimanan serta tawakal kepada Allah.

Cara menjamahnya:
1. Apabila sudah masak(berjaya)rasakanlah kelazatannya(hasil),jika kurang
sedap,tambahkan lagi ketekunan dan kerajinan secukupnya.
2. Hidangkan dengan sebuah kesyukuran untuk mencantikkannya lagi.
3. Hiasilah dengan senyuman.
4. Jangan masukkan dendam,hasad dengki serta malas. Bahan-bahan ini hanya akan merosakkan hidangan ini.

Selamat Menjamah :)

March 2, 2010

7 Langkah Untuk Mencapai Matlamat & Kejayaan

Setiap orang mempunyai matlamat dan kejayaan yang ingin di capai...namun dalam menetapkan matlamat dan mencapai kejayaan, pelbagai rintangan dan dugaan yang perlu diharungi. Oleh itu, mari kita sama-sama meneliti artikel ini yang sedikit sebanyak menjelaskan langkah-langkah, cara-cara, kaedah-kaedah, strategi-strategi, teknik-teknik, tip-tip, panduan-panduan atau rahsia-rahsia untuk mencapai matlamat dan kejayaan yang diimpikan.

Untuk mencapai matlamat anda dan berjaya dalam kehidupan, anda mestilah membina suatu kebiasaan berdasarkan langkah-langkah yang telah terbukti keberkesanannya seperti berikut:


1. Wujudkan Keinginan Anda Sebesar Mungkin

Keinginan tersebut mestilah yang benar-benar anda idamkan.
Bagaimana menyemarakkan keinginan anda?
Duduk dan tulis semua keinginan anda. Nyatakan faedah-faedah dan kebaikan-kebaikan mencapai segala keinginan anda itu. Fikir dan tulislah sepuas-puasnya. Apabila senarai anda menjangkau 50 hingga 100, suatu bentuk perasaan atau semangat pada diri anda akan timbul. Teruskan. Anda akan mula menjadi lebih bersemangat. Jika anda terus menulis dan menghayati segala matlamat anda itu, semangat anda akan bertambah menyala, berapi-api!

2. Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda

TULIS matlamat-matlamat anda di atas sehelai kertas. Jika anda tidak tulis, ia hanya akan menjadi angan-angan sahaja. Salinkannya ke dalam Buku Matlamat anda. Ini PENTING, kerana dengan berbuat demikian, ia akan menjadi perkara yang penting bagi anda. Dengan berbuat demikian juga, ia akan mula meresap ke dalam minda separa sedar anda.

3. Tetapkan Bila dan Tempoh Pencapaian Matlamat Anda

TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai. Kaji tahap atau kedudukan anda sekarang berbanding dengan apa yang anda inginkan. Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda itu.

4. Tangani Halangan

Kenalpasti halangan-halangan yang perlu anda atasi. Seterusnya tumpukan kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda akan perlukan untuk mencapai matlamat anda - misalnya pengetahuan, pakar-pakar, penasihat-penasihat atau badan-badan tertentu.

5. Buat Perancangan

Gunakan semua butir pada langkah 3 dan 4.

RANCANGKAN tindakan-tindakan anda. Senaraikan semua aktiviti mengikut susunan keutamaannya. Perbaiki senarai anda; optimumkannya, sempurnakannya.

Ingatlah pesan Peter Drucker, seorang guru pengurusan yang pernah berkata: Cara terbaik meramal masa hadapan ialah dengan meWUJUDkannya. (The best way to predict the future is to create it).

6. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda

Letakkan suatu Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya. Buat imej minda yang jelas dan terang pada mata minda anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang atau berkali-kali di fikiran anda.

Ingatlah bahawa: "Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." - Cecil B. DeMille.

Ingatlah juga kata Mahatma Gandhi: Seseorang itu adalah hasil dari fikirannya. Apa yang dia fikir, itulah yang dia akan menjadi".

7. Baki 90% Adalah Usaha dan Keazaman Anda

Sokong rancangan anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS ASA (Persistence).
Tekadkan semangat.
Tumpukan kepada kejayaan.
Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan.
Bulatkan hati dan fikiran.
Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran.

Lakukanlah tindakan-tindakan proaktif dan produktif. InsyaAllah, dengan diiringi doa, keazaman, disiplin yang tinggi serta usaha gigih, anda akan mencapai apa juga matlamat yang anda ingini dan impikan.

March 1, 2010

Bermatlamat Tangga Kejayaan

Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.

Matlamat Memudahkan Perancangan.

Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Matlamat meningkatkan komitmen diri. Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri. Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya!!!

Matlamat Membantu Anda Membuat Keputusan.

Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialah sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka. Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda. Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!
Matlamat Membantu Anda Mendapatkan Pertolongan.

Apabila anda mempunyai matlamat, anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa pensyarah setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

Matlamat Pengukur Kejayaan.

Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari. Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna. Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.

February 27, 2010

Diriku Di Suatu Malam@Pagi...

Angin malam bertiup lembut menyapa seraut wajah yang sedang asyik termenung di jendela. Ku memeluk tubuhku bagi mengurangkan kedinginan malam yang menusuk hingga ke tulang. Ku lontarkan pandangan yang kosong ke arah jalan raya yang agak lengang di tambah pula keadaan cuaca yang kadang-kadang hujan, kadang-kadang panas. Fikiranku melayang jauh entah ke mana...

Rindu mengetuk hati. Terkenangkan mak dan ayah yang jauh di mata. Rindu itu makin menyeksakan. Jika bukan kerana sibuknya ku dengan tugasan yang perlu di siapkan, pasti kaki sudah diatur pulang ke tempat yang paling ku rindui. Ku mengeluh perlahan. Beratnya menahan rindu. Tapi entah mengapa, semakin ku cuba siapkan tugasan, semakin banyak pula rasanya yang masih ku perlu pelajari...

Rinduku masih bersisa. Sarat di hati cuba diubati. Ku terkenangkan kasih sayang yang di hulurkan keduanya. Bukan ku tak tersentuh, bukan tak menitis air mata dengan pengorbanan keduanya. Lantaran itu, ku kuatkan juga semangat untuk meneruskan kehidupan di alam Universiti yang penuh dengan onak duri, ranjau berliku, dugaan dan cabaran yang perlu ku tempuhi ibarat mencari sinaran mentari pelangi kehidupan ku...

Seruan azan Subuh yang berkumandang menyedarkan ku dari lamunan yang panjang, kini ku harus meneruskan rutin harianku sebagai mahasiswa untuk mengejar segulung ijazah yang selama ini menjadi impianku...

February 26, 2010

Assalamualaikum...

Dunia ini pentas percubaan dan umpama lautan luas lagi dalam...
Kehidupan adalah anugerah utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran kebesaranNya yang wajib kita syukuri. Demi mencari sinar kehidupan, ku tempuhi jua onak berduri ranjau berliku. Perjalananku masih jauh demi memperjuangkan sebuah kehidupan yang kuinginkan...